BTS Media

“Datuk Seri” ditahan dalam siasatan ekstrak haram bauksit – SPRM

 

Oleh Yusoff A. Shariff

SEORANG bergelar “Datuk Seri” terbabit dalam pengekstrakan haram bauksit di Pahang, dedah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata bauksit yang diekstrak itu dihantar ke Terengganu.

“Tiada permit dikeluarkan (untuk mengekstrak dan mengangkut bauksit) itu,” katanya kepada pemberita di Kajang hari ini.

Pada hari Khamis, SPRM menahan tiga orang termasuk seorang pegawai kerajaan Pahang dalam usaha membanteras pengekstrakan haram bauksit di negeri itu.

Pegawai itu, yang bertugas di sebuah agensi kerajaan negeri, dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pengekstrakan galian secara haram.

SPRM turut menyerbu sebuah stor di Jabor, Terengganu, di mana bahan galian itu disimpan.

Azam hari ini berkata polis juga telah mengambil tindakan berhubung kes tersebut.

“SPRM sedang mengambil tindakan di bawah Akta SPRM, termasuk membekukan akaun syarikat terbabit.”

Azam berkata kes masih disiasat dan SPRM belum menemui wakil daripada agensi milik pegawai yang ditahan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana rasuah.

Pada tahun 2016, moratorium dikenakan terhadap perlombongan bauksit selepas aduan penduduk Pahang mengenai pencemaran udara dan bahaya lori yang mengangkut mineral itu.

Perlombongan bauksit yang berleluasa telah menyebabkan beberapa kawasan sekitar Kuantan diselubungi debu merah hingga digelar “Planet Marikh”. Ia juga menjadikan sungai-sungai di Kuantan merah.

Moratorium tamat pada 31 Mac 2019.

Pada tahun 2020, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata perlombongan bauksit boleh disambung semula selagi pengusaha mematuhi prosedur operasi standard Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

-BTS Media

Leave a Comment