BTS Media

Ruang rundingan tertutup, Melaka sah terima keputusan DAP keluar kerajaan

KERAJAAN Negeri Melaka mengesahkan tiada lagi ruang untuk rundingan dengan DAP selepas parti itu secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan semua wakilnya dalam pentadbiran negeri, sekali gus menamatkan penyertaan mereka dalam kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh berkata, tindakan DAP menyerahkan surat peletakan jawatan sejurus selepas sidang media mereka semalam menyebabkan permintaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya keputusan itu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada rundingan tidak lagi dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu diterima sebaik sahaja sidang media DAP berakhir, sekali gus menyebabkan penyusunan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) diubah serta-merta selepas peletakan jawatan berkuat kuasa.

Beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa tiada lagi ruang untuk berunding memandangkan DAP telah terlebih dahulu mengemukakan surat rasmi menarik diri daripada pentadbiran negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.

Semalam, DAP Melaka mengumumkan keputusan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri selain melepaskan semua jawatan dalam kerajaan serta pelbagai pelantikan di bawah pentadbiran negeri.

Susulan keputusan itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menerima pendirian DAP dan akan menguruskan segala proses berkaitan mengikut Perlembagaan Negeri serta peraturan yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap sebarang keputusan yang bakal dibuat Pakatan Harapan (PH) selepas mesyuarat gabungan itu esok bagi membincangkan hala tuju kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Mesyuarat berkenaan diadakan susulan kenyataan Pengerusi PH Melaka yang juga Adun Bukit Katil, Adly Zahari bahawa gabungan itu akan menentukan masa depan kerjasama PH-BN di negeri berkenaan.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menghormati keputusan Adun DAP, namun menegaskan rundingan tidak lagi relevan selepas keputusan rasmi dibuat dan diterima.

Beliau turut memaklumkan telah menerima surat daripada PKR Melaka yang menyatakan pendirian parti itu tidak bersetuju dengan keputusan DAP meninggalkan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan hubungan baik serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara dengan memberi keutamaan kepada agenda pembangunan, ekonomi, kebajikan serta kepentingan rakyat Melaka.

Menurutnya, pentadbiran negeri akan terus berjalan seperti biasa dan orang ramai, penjawat awam, komuniti perniagaan, pelabur serta semua pihak berkepentingan tidak perlu bimbang kerana urusan kerajaan tidak akan terjejas.

Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung rombakan pentadbiran negeri akan dibuat secara teliti dan berhemah berdasarkan keperluan tadbir urus serta kepentingan rakyat, bukannya dipengaruhi tekanan politik atau keputusan tergesa-gesa.

Sementara itu, Ab Rauf mengumumkan portfolio Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna yang dikosongkan Adun Kesidang, Allex Seah, akan dipangku sementara oleh seorang daripada anggota Exco kerajaan negeri sedia ada.

-BTSMedia.my

Leave a Comment