KEMENTERIAN Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merancang untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif Multi-Operator Core Network (MOCN) ke seluruh negara bagi meningkatkan capaian internet di kawasan yang masih mempunyai liputan terhad.
Kementerian memaklumkan bahawa Johor merupakan antara negeri yang diberi keutamaan dalam usaha mencapai liputan internet 100 peratus di kawasan berpenduduk. MCMC kini sedang mengenal pasti beberapa lokasi di negeri itu untuk pelaksanaan MOCN selepas penilaian mendapati kawasan luar bandar masih berdepan kekangan liputan 4G dan 5G.
Menurut kementerian, pelaksanaan MOCN membolehkan syarikat telekomunikasi berkongsi rangkaian sedia ada, sekali gus memperluaskan liputan perkhidmatan, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan lokasi yang mempunyai penerimaan isyarat lemah. Melalui pendekatan itu, operator yang mempunyai infrastruktur di sesuatu kawasan boleh berkongsi rangkaian dengan syarikat telekomunikasi lain bagi memastikan penghantaran dan penerimaan isyarat mudah alih menjadi lebih menyeluruh.
Setakat ini, inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di lima lokasi, iaitu dua menara telekomunikasi di Bukit Putus, Negeri Sembilan, serta masing-masing satu lokasi di Prima Gambang, Pahang; Plaza Tol Kota Seri Langat di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Banting, Selangor; dan Tanjung Asam, Pulau Pinang.
Kementerian turut memaklumkan bahawa antara faktor utama yang menjejaskan kualiti penerimaan isyarat mudah alih ialah kedudukan banyak kediaman di kampung dan kawasan luar bandar yang dikelilingi atau terlindung oleh pokok kelapa sawit.
Perkara itu dimaklumkan kepada pemberita oleh selepas Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi di Kampung Parit Maimon, hari ini.
-BTSMedia.my



