BTS Media

Penduduk kampung sanggup berjalan dua jam mendaki Bukit Tamu hanya untuk mendapatkan liputan internet

KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Magandai, kira-kira 70km dari sini, terpaksa mendaki Bukit Tamu sejauh lapan kilometer di kampung itu hanya untuk mendapatkan liputan internet.

Perjalanan berbahaya dan meletihkan ke puncak bukit mengambil masa hampir dua jam, menggunakan laluan melalui kawasan yang curam dan licin merentasi hutan tebal.

Penduduk kampung, Suanie Din, 37, memberitahu NST bahawa jumlah orang kampung yang mendaki bukit itu untuk mendapatkan liputan internet berbeza-beza kerana ia bergantung kepada jadual masing-masing.

“Bilangan penduduk yang mendaki untuk mendapatkan liputan internet pada masa yang sama berbeza-beza, kadang-kadang ramai, kadang-kadang hanya tiga hingga empat orang.

“Hanya dengan mendaki bukit tinggi itu penduduk Magandai dapat melayari internet, walaupun ia tidak sepantas di kawasan bandar,” katanya.

Difahami bahawa penduduk Magandai mula mendaki bukit itu untuk mendapatkan akses internet sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurut Suanie, mereka mendaki bukit itu sekurang-kuranya t tiga kali seminggu hanya untuk mendapatkan liputan internet.

“Dalam seminggu, kami mendaki Bukit Tamu tiga kali dan berada di puncak selama dua jam. Kami terpaksa menggunakan payung untuk berlindung dari matahari terik atau hujan,” katanya.

“Biasanya, kami meninggalkan rumah seawal pukul 6 pagi, untuk perjalanan ke puncak Bukit Tamu yang mencabar dan meletihkan. Kami hanya sampai di sana sekitar pukul 10.30 pagi,” katanya.

Suanie berkata pemancar internet terdekat terletak di SK Magandai, kira-kira 15km dari kampung. Walau bagaimanapun, akses internet tidak sampai kepada penduduk apabila mereka berada di rumah kerana ia dihalang oleh bukit tinggi.

“Ini memaksa penduduk mencari alternatif dengan mendaki bukit bagi mendapatkan liputan internet, walaupun tak seberapa,” jelasnya.

Menurutnya, perjalanan menuruni bukit lebih berbahaya, kerana risiko terjatuh ke dalam gaung.

“Setakat ini, kami belum lagi pernah bertembung dengan binatang liar ketika mendaki Bukit Tamu; namun, kami sentiasa berhati-hati akan risiko tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyediakan Pusat Ekonomi Digital (Pedi) di Magandai untuk kemudahan penduduk tempatan.

-BTS Media

Leave a Comment