BTS Media

Penduduk Setiawangsa bantah pembangunan di Bukit Dinding, DBKL dipersoal

Oleh Zainal AS Rashid

PENDUDUK Setiawangsa dan Wangsa Maju membantah rancangan untuk membangunkan kawasan di sepanjang kaki Bukit Dinding.

Isu itu sekali lagi mempersoalkan proses kelulusan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Walaupun setinggi hanya kira-kira 300 meter, Bukit Dinding merupakan kawasan popular bagi penduduk kawasan berkenaan.

Bukit yang dikatakan tertinggi di bandar raya itu juga berisiko berlaku tanah runtuh jika dibangunkan, kata penduduk setempat.

Sejak rancangan pembangunan kawasan itu didedahkan , ratusan penduduk telah memberi tekanan kepada DBKL agar tidak membenarkan projek tersebut diteruskan kerana bimbang akan memburukkan lagi risiko tanah runtuh.

Kebimbangan termasuk kejadian Highland Towers di Hulu Kelang pada Disember 1993 akibat hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh. Tragedi tersebut menyebabkan 48 orang terbunuh.

Menurut penduduk di Setiawangsa, DBKL telah pun meluluskan projek pembangunan tersebut.

Susulan itu penduduk mempersoalkan bagaimana kawasan yang diketahui umum sebagai berisiko boleh dijual kepada syarikat swasta dan kelulusan diberikan untuk dibangunkan.

Bukit Dinding pada asalnya adalah sebuah ladang yang kemudian mempelbagaikan aktiviti ke bidang hartanah bagi membangunkan kawasan perumahan dan perniagaan.

Menurut Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur, sebahagian besar Bukit Dinding ditetapkan untuk pemuliharaan, tetapi kawasan kaki bukit telah dizonkan untuk aktiviti “perumahan” seawal tahun 80-an.

Pendedahan apa yang akan berlaku di Bukit Dinding jelas bercanggah dengan usaha pemuliharaan itu.

Berdasarkan iklan pembangunan, projek tersebut membabitkan 300 unit apartmen mewah di kawasan seluas enam ekar membabitkan Lot 26413 di bahagian barat Bukit Dinding.

Bukit Dinding, Setiawangsa.

Sebahagian daripada projek itu didakwa akan “mencerobohi” zon hijau, di mana tiada pembangunan sepatutnya benarkan.

Projek tersebut juga dikatakan akan dibina di lereng bercerun melebihi 30 peratus , iaitu lebih tinggi daripada maksimum 20 peratus yang dianggap selamat.

Kelulusan perancangan dibuat pada 28 Mac tahun ini dan kelulusan kerja tanah hanya diberikan pada 10 Ogos.

Pihak pemaju telah mengadakan mesyuarat selama dua jam bersama kira-kira 70 penduduk pada 15 September. Hampir kesemua penduduk yang hadir membantah cadangan pihak pemaju.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi pihak penduduk terbabit telah membawa kes tersebut ke DBKL.

Antara tuntutan beliau termasuk supaya DBKL mengemukakan butiran terperinci tentang isu keselamatan dan kestabilan bahagian cerun di Bukit Dinding.

Sehingga laporan ini disiarkan pihak DBKL masih belum memberikan sebarang penjelasan.

-BTS Media

Leave a Comment