LIMA calon pilihanraya umum ke-15 (PRU15) telah tampil menandatangani ikrar untuk memperjuangkan isu pembangunan rakus kawasan Bukit Dinding, Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada Nurul Fadzilah Kamaluddin (PN), Nik Nazmi Nik Ahmad (PH), Bibi Sunita Sakandar Khan (PEJUANG ), Stanley Lim Yen Tiong (BEBAS), dan Mior Rosli Mior Mohd Jaafar (BEBAS)
Bagaimanapun, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Izudin Ishak tidak menandatangani ikrar tersebut, sebaliknya diminta oleh orangnya supaya penduduk sendiri pergi berjumpa dengan beliau.
Beberapa penduduk berasa kesal kerana menjelang PRU15 pun beliau tidak mahu turun ke lapangan berkenaan untuk menyokong isu penting yang diperjuangkan di kawasan tersebut sejak bertahun.
Menurut ikrar yang dilihat oleh BTS Media hari ini, kesemua lima calon berkenaan telah menandatangani ikrar untuk tegas komited berjuang dan menyokong usaha menyelamat dan memelihara presint hijau Bukit Dinding.
Mereka juga berikrar untuk berusaha menghentikan sebarang cubaan pembersihan kawasan hutan di lokasi itu dan membina bangunan atau apa-apa struktur demi kelestarian alam sekitar di Setiawangsa.
-BTS Media