BTS Media

Geram kenyataan pemaju, penduduk tuntut dedah laporan keselamatan Bukit Dinding kepada umum

PENDUDUK menuntut syarikat Nova Pesona Sdn Bhd mengemukakan semua laporan teknikal untuk projek yang dibangunkannya di sekitar Bukit Dinding, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Tuntutan menyusul selepas pemaju hartanah itu mendakwa mereka telah mematuhi peraturan keselamatan dan alam sekitar yang diperlukan untuk membina lebih seribu unit kondominium dan vila mewah di kaki bukit berisiko runtuh.

Pemilik rumah sekitar Wangsa Maju dan Setiawangsa berkata pemaju setakat ini enggan berkongsi laporan tersebut mereka walaupun berulang kali diminta mendedahkan laporan kajian impak yang digunakan bagi mewajarkan rancangan pembangunannya di sekitar bukit, yang didakwa selamat ,walaupun kejadian tanah runtuh pernah dilaporkan berlaku sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Pihak penduduk berkata pendedahan laporan itu kepada umum adalah penting bagi membolehkan mereka mengaudit secara bebas.

Seorang penduduk, Izaidi Md ismail, 61,yang tinggal di Seksyen 5 Wangsa Maju adalah antara yang menghadiri mesyuarat bersama Nova Pesona, pegawai Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk pada 2015 dan terbaharu, pada September lepas.

Pada setiap mesyuarat yang diadakan pihak penduduk rata-rata tegas membantah projek itu.

GAMBAR: Facebook ‘Friends of Bukit Dinding’.

Menurut Izaidi, apabila diminta mengemukakan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), pihak pemaju sekadar berkata semuanya boleh diperoleh daripada laman web pemaju, tetapi apabila disemak mereka tidak dapat mengaksesnya.

Bukit Dinding, walaupun hanya kurang 300 meter tinggi, merupakan kawasan rekreasi popular bagi ramai penduduk bandar raya. Bagaimanapun, bukit berhutan itu juga berisiko sebagai kawasan tanah runtuh.

Sejak berita mengenai rancangan pembangunan itu didedahkan, ratusan penduduk lantang mendesak DBKL supaya tidak membenarkan projek itu, kerana bimbang pembangunan di sekitar bukit curam boleh memburukkan lagi masalah tanah runtuh.

Penduduk berkata mereka mula mendengar tentang rancangan Nova Pesona untuk membangunkan kawasan itu seawal 2013.

Bukit Dinding terletak di kawasan yang dahulunya merupakan ladang. Pemiliknya kemudian mempelbagaikan pembangunan hartanah berikutan amalan perniagaan biasa dalam kalangan syarikat perladangan besar. Oleh kerana mereka memiliki kawasan tanah yang luas, sebahagian besar kemudiannya ditukar untuk perumahan dan pembangunan bandar.

Menurut Pelan Bandaraya Kuala Lumpur, sebahagian besar Bukit Dinding telah ditetapkan untuk pemuliharaan, tetapi kawasan kaki bukit dizonkan untuk “perumahan” seawal 1983. Hanya puncak bukit ditetapkan sebagai zon tanpa pembangunan.

Nova Pesona, anak syarikat Tan & Tan Development Sdn Bhd, memiliki petak terbesar daripada lima petak yang dibahagi dan dizonkan untuk “perumahan” di situ – semuanya dimiliki oleh pemaju swasta.

Badan pemantau hutan, Rimba Disclosure Project, berkata sebahagian besar Bukit Dinding telah dikategorikan sebagai sangat berisiko berlaku tanah runtuh.

DBKL setakat ini berkata akan menyekat sebarang kerja pembangunan di sepanjang kaki Bukit Dinding, tetapi hanya sehingga “sesi komunikasi strategik dengan penduduk telah dimuktamadkan.”

-BTS Media

Leave a Comment