BTS Media

Penduduk Wangsa Maju, Setiawangsa mohon tindakan polis terhadap pemaju Bukit Dinding

Oleh Zainal AS Rashid

PENDUDUK Wangsa Maju telah membuat beberapa laporan polis terhadap Nova Pesona Sdn Bhd, syarikat hartanah di tengah-tengah kontroversi pembangunan di lereng Bukit Dinding, Kuala Lumpur.

Ia dilakukan dalam usaha untuk menghentikan projek yang mereka dakwa boleh mengancam keselamatan pemilik rumah di sekitar kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa syarikat itu mengelirukan orang ramai tentang projek tersebut.

Projek itu dibantahi oleh semua persatuan penduduk Wangsa Maju dan Setiawangsa, yang merupakan kawasan kejiranan sekitar Bukit Dinding.

Penduduk yang diwakili persatuan masing-masing turut mendakwa syarikat itu secara sedar telah berkongsi laporan teknikal penting mengenai projek itu yang telah lama lupus, termasuk laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bertarikh 2017. EIA hanya sah selama dua tahun.

Laporan EIA yang sering dibuat oleh pihak perunding diupah oleh pemaju, kadangkala didedahkan kepada umum pada laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Semakan di laman web JAS menunjukkan hanya terdapat satu laporan EIA bagi projek Bukit Dinding oleh Nova Pesona, iaitu yang bertarikh 2017.

Laporan polis dibuat pada Sabtu (15 Oktober) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Penduduk menuntut Nova Pesona mengeluarkan semua laporan teknikal untuk projek di sekitar Bukit Dinding selepas syarikat itu menegaskan mereka mematuhi peraturan keselamatan dan alam sekitar yang diperlukan.

Pemilik rumah di sekitar Wangsa Maju dan Setiawangsa berkata pemaju masih enggan berkongsi laporan tersebut walaupun berulang kali diminta berbuat demikian.

Pihak pemaju pula didakwa mewajarkan rancangan pembangunan di sekitar kawasan bukit itu dengan alasan bahawa ia selamat walaupun kejadian tanah runtuh pernah berlaku sejak sebelum pembinaan dimulakan.

-BTS Media

Leave a Comment