BTS Media

Trump pertimbang guna tentera untuk rampas Greenland daripada Denmark

WHITE House pada hari Selasa memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang mempertimbangkan pelbagai langkah termasuk hantar tentera untuk merampas Greenland daripada Denmark.

Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, berkata kononnya usaha merampas Greenland merupakan keutamaan keselamatan negara bagi pentadbiran Trump.

Beliau menjelaskan bahawa Trump dan pasukan keselamatannya sedang membincangkan pelbagai cara untuk mencapai matlamat dasar luar tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan tentera sentiasa menjadi salah satu pilihan yang tersedia bagi AS.

Kenyataan itu menyusul selepas pencerobohan oleh tentera AS di Venezuela baru-baru ini.

Trump sebelum ini dilapor menyifatkan Greenland sebagai aset strategik yang diperlukan AS dan mempersoalkan kemampuan Denmark untuk mempertahankan wilayah itu.

Rancangan rakus dan biadab Trump itu, bagaimanapun dibantah keras oleh Copenhagen.

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, memberi amaran bahawa sebarang percubaan mengambil Greenland secara paksa akan melumpuhkan pakatan NATO serta menamatkan hubungan keselamatan transatlantik yang telah terjalin selama lapan dekad.

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, turut menegaskan bahawa pulau tersebut adalah wilayah berdaulat dan masa depan wilayah itu hanya boleh ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Pemimpin Eropah dari United Kingdom, Perancis, dan Jerman turut menyatakan sokongan terhadap kedaulatan Denmark serta menekankan kepentingan integriti wilayah dan undang-undang antarabangsa.

-BTSMedia.my

Leave a Comment