GAMBAR:
Seorang veteran tentera mempersoalkan tindakan polis menyiasat perhimpunan aman yang diadakan di Tugu Negara pada Isnin, yang menurutnya, telah mendapat kelulusan.
Mior Rosli Mior Jaafar mendakwa sekumpulan veteran tentera mengadakan perjumpaan dengan polis pada 31 Mei dan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat secara lisan yang membenarkan mereka berkumpul di Tugu Negara dengan kawalan lalu lintas, ambulans serta perlindungan polis akan disediakan.
Mior berkata, beliau yakin bahawa polis telah meluluskan perhimpunan itu apabila melihat anggota polis bertugas mengawal lalu lintas di lokasi tersebut pada hari perhimpunan dengan dua buah ambulans turut tersedia.
“Saya anggap apa yang polis cakap itu benar bahawa acara itu telah diluluskan,” katanya kepada FMT.
“Kami bukan berarak mahupun memprovokasi kerajaan. Kami hanya mahu bercakap tentang hak kami.
“Kami berkorban untuk negara ketika Darurat. Kamilah yang melindungi negara daripada komunis dan beginikah cara kami diperlakukan?
“Tidak betul memperlakukan veteran dengan cara ini.”
Seorang lagi veteran, Rafique Ali Ahmad Nordin berkata, beliau adalah antara salah seorang veteran tentera yang bertemu dengan polis pada 31 Mei.
“Pada 2 Jun, dua orang pegawai polis datang berjumpa saya di Seremban untuk menjelaskan beberapa perkara dan kami yakin mereka (polis) telah memberikan kelulusan secara lisan,” katanya kepada FMT.
Beliau turut berkongsi mesej WhatsApp yang didakwanya menggariskan segala butiran “aturan” yang dicapai antara kedua-dua pihak.
Pada Isnin, kira-kira 2,000 veteran berkumpul di Tugu Negara dan menggesa asemakan semula kadar dan bayaran pencen bagi mereka yang berkhidmat dalam angkatan tentera kurang daripada 21 tahun.
Pada masa ini, hanya mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun layak mendapat pencen bulanan.
Kumpulan veteran itu berkata, mereka tiada pilihan selain berhimpun secara aman setelah lapan tahun cuba menyuarakan rungutan menerusi saluran yang betul.
Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya semalam berkata, enam individu dipanggil memberi keterangan dan polis sedang mengesan beberapa individu lain untuk membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman yang menghendaki penganjur memaklumkan kepada polis daerah terbabit sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.