BTS Media

China tegas: Tak boleh terima Amerika sebagai “hakim” dan “polis dunia”

MENTERI Luar China, Wang Yi, berkata Beijing tidak boleh menerima sebarang negara bertindak sebagai “hakim dunia” susulan penangkapan secara biadab Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Ketika berbincang dengan Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, dalam satu pertemuan di Beijing pada hari Ahad, Wang berkata tiada negara wajar berlagak sebagai “polis” atau “hakim dunia”. Ini adalah kerana kedaulatan serta keselamatan semua negara perlu dihormati mengikut undang-undang antarabangsa.

Wang tidak menyebut AS secara langsung ketika merujuk kepada perkembangan di Venezuela itu, yang menyaksikan Maduro dibawa secara paksa ke pusat tahanan di New York.

Beijing, yang mempunyai hubungan rapat dan pelaburan besar di Venezuela, terutama dalam sektor minyak, melihat kejadian itu sebagai cabaran kepada usaha China menjadi kuasa diplomatik utama dan merintangi tindakan unilateral kuasa Barat di rantau yang menjadi kepentingan strategiknya.

Seorang pegawai China memberitahu media bahawa kejadian itu merupakan satu tamparan besar kepada hubungan antara China dan Caracas sejak tahun 2023, termasuk dalam bidang pendidikan dan pelaburan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment