BTS Media

UMNO tak boleh ada dua nakhoda, Zahid tak mampu jaga parti, kata Tajuddin

TAJUDDIN Abdul Rahman yang baru-baru ini digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyeru presiden parti itu Zahid Hamidi menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mendakwa Zahid tidak mampu menjaga UMNO ketika beliau berdepan kes di mahkamah.

“Zahid tumpu kes-kes, tak mampu dia nak jaga parti, nak kita hadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media.

“Ismail sesuai jadi presiden parti, baru cantik, tak adalah dua nahkoda.”

Tajuddin turut mendakwa MKT UMNO ketika ini hanya mengikut kehendak Zahid.

“Keputusan MKT bukan kehendak MKT tetapi kehendak dia (Zahid). Dia bagi seorang dua cakap, lepas itu keputusan sudah putuskan…MKT wayang sahaja.” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata strategi Zahid untuk menjadikan Ismail sebagai calon perdana menteri hanyalah ‘umpan’ untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, janji UMNO yang diketuai Zahid itu tidak boleh dipakai.

“Pakai “poster boy” (Ismail). Ini semua umpan untuk perdana menteri setuju adakan pilihan raya. Bila ada pilihan raya, kalau menang, UMNO jadi komponen utama, dia (Zahid) nak jadi perdana menteri.

“Janji “poster boy” Ismail tak boleh pakai. Zahid akan atur siapa calon-calon bertanding di Parlimen. Itu sebab dia nak pegang (presiden UMNO),” katanya.

Berhubung dengan tawaran PAS untuk beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, beliau berseloroh “ia boleh dipertimbangkan”.

Bagaimanapun Tajuddin berkata, beliau tidak akan menyertai PAS untuk bertanding di Parlimen Pasir Salak.

“Boleh pertimbangkan. Not a bad idea (bukanlah idea yang teruk).

“Tapi tak adalah saya masuk PAS. Saya boleh tanding Bebas sokong UMNO.

“Saya menang besar dulu masa tsunami UMNO. Tak pernah kalah,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/27/tajuddin-seru-zahid-berundur-serah-nakhoda-kepada-ismail/

Leave a Comment