TAJUDDIN Abdul Rahman mendakwa beliau saksi UMNO menghantar akuan berkanun (SD) menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kepada Agong, dalam satu pendedahan selepas digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini.
Pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel, Tajuddin berkata SD yang diuar-uarkan itu memang wujud meskipun pemimpin UMNO melaungkan “No DAP, No Anwar”.
“Saya saksi hidup…saya diminta tandatangan. Mula-mula tak nak tetapi dah masam muka, tandatangan juga,” katanya.
Tajuddin mengiyakan pertanyaan sama ada Presiden Zahid Hamidi menandatangani SD itu.
“Mestilah, dia kepala,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua bahagian Ummo mahu Zahid berundur.
Katanya, muncul suatu gerakan mendesak Zahid lepas jawatan presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.
“Mohamad takut bila kena sergah dengan orang Zahid,” katanya.
Tajuddin berkata, antara pemimpin yang terlibat dalam gerakan itu adalah bekas perdana menteri, Najib Razak; Naib Presiden Khaled Nordin; bekas menteri besar Perak, Zambry Abd Kadir; dan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.
“(Mesyuarat) dibuat di rumah saya. Masa itu keputusan perjumpaan ini, kita nak buat satu memorandum meminta Zahid supaya turun dengan baik demi kepentingan UMNO,” katanya.
Tajuddin juga berkata, tidak takut dipecat oleh UMNO selepas membuat pendedahan pada hari ini.
Katanya, beliau sudah beberapa kali dipecat dalam UMNO, dan sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
“Saya banyak kali kena pecat. Dulu pernah kena pecat dengan Anwar (pada) 1995. Biasa lepas kena pecat, lepas tu orang yang pecat terus masuk ‘jail’ (merujuk kepada Anwar),” katanya.