POLIS mengesahkan bahawa enam orang cedera, termasuk seorang patah kaki, dalam kemalangan empat kenderaan yang berlaku di simpang empat lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah/Jalan Seri Jaya, Meru, Klang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superintendan Mohd Rahimi Zainol, berkata mereka menerima aduan pada pukul 10 pagi mengenai kejadian yang melibatkan dua kereta dan dua lori itu.
Menurut Mohd Rahimi, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku sekitar pukul 8.57 pagi, apabila sebuah lori membawa tanah hilang kawalan semasa menuruni bukit, lalu terbabas ke kanan dan melanggar tiga kenderaan lain yang berada di laluannya.
Beliau berkata, tujuh orang terlibat dalam kejadian itu, dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dan Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Pemandu lori itu, seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun, sedang disiasat polis.
Menurut Mohd Rahimi, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Surihan, di talian 013-2082327 atau di mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini, kemalangan tersebut yang menjadi tular di media sosial, menarik perhatian orang ramai melalui perkongsian video dan gambar di lokasi kejadian.
-BTSMedia.my