BTS Media

Lori hilang kawalan, rempuh rumah kosong di jalan Batu Pahat-Mersing

SEBUAH rumah rosak setelah dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan dalam satu kemalangan di Km99, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Kampung Sri Lukut, Kahang, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi apabila pemandu lori berusia 37 tahun itu mengelak sebuah motosikal dari arah bertentangan yang tiba-tiba membelok ke kanan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mereka menerima laporan pada pukul 4.04 petang hari yang sama daripada pemilik rumah berusia 43 tahun itu.

Siasatan mendapati bahawa semasa kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Mersing menuju Kahang.

Setibanya di lokasi, pemandu cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba membelok ke kanan, hingga menyebabkan hilang kawalan, lalu terbabas ke kanan, dan merempuh sebuah rumah kosong di tepi jalan, katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kemalangan itu, polis menahan pemandu lori untuk ujian air kencing, namun dia didapati bebas daripada sebarang bahan terlarang.

Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bumbung, siling, dan dinding dapur rumah tersebut.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

-BTS Media

Leave a Comment