BTS Media

Kenyataan mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak dikecam, netizen anggap menteri ‘salahkan mangsa’

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berdepan kritikan dalam talian selepas kenyataannya mengenai seorang kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di plaza tol Bukit Kajang dianggap oleh ramai netizen sebagai cubaan “menyalahkan mangsa.”

Dalam satu sidang media semalam, Loke berkata mangsa, kanak-kanak lelaki berusia satu tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan pada pagi hari Sabtu lalu, tidak diletakkan di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak.

Bercakap selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak, beliau menjelaskan bahawa kenyataannya bukan bertujuan untuk menuding jari kepada ibu bapa atau mangsa, tetapi sebagai satu peringatan kepada semua pihak.

Menurutnya, ramai yang merungut apabila Kementerian Pengangkutan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, namun kejadian seperti ini membuktikan betapa pentingnya peraturan tersebut.

Walau bagaimanapun, kenyataan beliau itu tidak diterima baik oleh sesetengah netizen.

Tinjauan di ruangan komen laman Facebook New Straits Times mendapati ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan menteri itu.

Mereka menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan merupakan satu cubaan untuk mengalih kesalahan.

  – BTS Media

Leave a Comment