GAMBAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.
MAYAT seorang wanita dan kanak-kanak yang berpelukan antara terbaharu ditemukan dalam runtuhan tanah yang melanda tapak perkhemahan Father’s Oranic Farm di Batang kali hari ini.
Kedua-duanya adalah mangsa ke-17 dan ke-18, dengan satu lagi mayat turut ditemukan pada pukul 5.00 petang.
Sehingga kini, anggota penyelamat telah menjumpai 19 mayat, empat daripadanya kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata setakat ini 61 mangsa berjaya diselamatkan.
Dua mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 14 orang masih hilang.
Kawasan itu difahamkan terbahagi kepada beberapa tapak perkhemahan, dan Norazam berkata usaha mencari kini tertumpu di bahagian tapak Farm View dan Riverside.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan lebih 700 anggota pelbagai agensi akan diteruskan.
Menurut beliau lagi, anggotanya bertugas secara bergilir-gilir, ada pasukan menumpu kepada usaha mencari dan menyelamat (SAR), sementara terdapat juga pasukan yang memantau pergerakan tanah.
Beliau berkata 40 mangsa berada di Sektor A, Hillview ketika kejadian tanah runtuh, 14 di Sektor C Riverside dan selebihnya di Sektor B, Farm View.
Tambahnya, 16 mayat pertama dikeluarkan dari bahagian Hillview, manakala tiga lagi dari Riverside.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Suffian Abdullah berkata kesemua 94 mangsa adalah rakyat Malaysia.
Beliau berkata ahli keluarga boleh membuat pengecaman mangsa di Hospital Sungai Buloh atau di pangkalan operasi di Batang Kali.
-BTS Media