BTS Media

Tanah runtuh Batang Kali: Nurul Azmani mangsa pertama dikebumi

GAMBAR ATAS: Keluarga Allahyarham di tanah perkuburan/Bernama.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

JENAZAH salah seorang mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Taman Selasih di sini pada jam 10 malam tadi.

Ibu Allahyarham, Siti Esah Hassan, 53, berkata, jenazah Nurul Azmani Kamarulzaman, 31, dibawa ke tanah perkuburan selepas solat jenazah di Masjid Abu Hurairah Kampung Batu 5, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

Menurut Siti Esah, Nurul Azmani merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang bekerja sebagai pembantu kantin di SJKC Mun Choong, lapor Bernama.

“Dia menyertai perkhemahan itu kerana menemani majikannya yang juga seorang guru di sekolah itu, dan dia (Nurul Azmani) berjanji akan pulang ke kampung selepas aktiviti perkhemahan.

“Pada Rabu, malam sebelum kejadian, dia menghubungi saya memberitahu dia membeli tiket untuk pulang ke Kelantan, yang sepatutnya semalam (Jumaat),” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

Allahyarham merupakan seorang daripada 24 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh pada pukul 2.42 pagi Jumaat.

Sehingga pukul 8 pagi, hari ini, sembilan mangsa masih hilang, manakala 61 lagi berjaya diselamatkan.

-BTS Media

Leave a Comment