Oleh Fetty Rara
PERCUTIAN cuti sekolah di tapak perkhemahan berakhir dengan tragedi bagi sekumpulan guru SJKC Mun Choong di Kuala Lumpur.
Kumpulan 23 orang, termasuk kanak-kanak itu antara mangsa tanah runtuh yang melanda tapak perkhemahan father’s Organic Farm di Batang Kali awal Jumaat (16 Dis), lapor The Star.
Pengerusi persatuan ibu bapa dan guru sekolah tersebut, U Chin Ong berkata guru-guru, rakan-rakan dan saudara-mara mereka menganjurkan perjalanan perkhemahan dan telah mendaftar diri di tapak perkhemahan berkenaan pada Rabu (14 Dis).
“Mereka yang menyertai termasuk guru, ibu bapa dan kanak-kanak seramai 23 orang kesemuanya,” katanya kepada Oriental Daily pada Jumaat.
U juga memberitahu Berita Harian, ketika ditemui di balai polis Hulu Yam Baru, bahawa kumpulan itu sepatutnya mendaftar keluar dan pulang pada Jumaat.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa guru berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
“Ada juga yang dihantar ke balai polis untuk dirawat oleh kakitangan perubatan HKL.
“Saya bergegas ke balai polis selepas menerima berita itu.”
Setakat pukul 1.00 tengah hari, U berkata kira-kira enam orang daripada kumpulan itu telah diselamatkan, dan operasi mengesan mangsa lain sedang dijalankan.
Sebanyak 16 kematian telah dilaporkan setakat ini.
-BTS Media