Oleh Yusoff A. Shariff
LALUAN Batang Kali-Genting Hulu Selangor, yang dilanda tanah runtuh sebelum subuh hari ini, telah ditutup kepada semua kenderaan.
Menteri Kerja Raya lexander Nanta Linggi berkata tanah runtuh itu melibatkan kawasan sepanjang 300 meter dan setinggi 70 meter.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan Jalan Batang Kali, Jalan Ulu-Yam Batu Caves, Gombak, Lebuhraya Karak dan Genting Highlands sebagai laluan perjalanan alternatif buat masa ini.
Tambah beliau, semakan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan terjejas, yang melibatkan bahagian-bahagian jajaran Batang Kali-Genting Hulu Selangor berada di bawah seliaan JKR Selangor.
“Berdasarkan semakan awal, didapati tiada rekahan terbuka pada permukaan jalan.
“Jabatan Kerja Raya dan pelbagai agensi sedang menjalankan misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.
“Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga berada di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Kejadian tanah runtuh sebelum subuh di tapak perkhemahan Ladang Organik Bapa dekat Jalan Genting-Batang Kali itu telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.
-BTS Media