SERAMAI 16 pelajar sekolah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas bas sekolah yang mereka naiki terbalik selepas melanggar lubang besar di Jalan Abdul Samad.
Kejadian itu mengakibatkan pelajar-pelajar tersebut mengalami pelbagai kecederaan, termasuk patah tangan dan jari.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, mengesahkan bahawa beliau telah menerima maklumat terkini dari hospital dan pihak sekolah mengenai keadaan mangsa.
Dalam satu hantaran di Facebook, Aznan memberi jaminan bahawa semua pelajar yang terlibat akan menerima rawatan perubatan dan pemantauan kesihatan yang terbaik.
“Pihak berkuasa juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden ini bagi mengenal pasti punca sebenar dan memastikan tindakan sewajarnya diambil untuk menjaga keselamatan pelajar pada masa hadapan,” kata Aznan.
Kemalangan itu melibatkan tiga pelajar dari SMK Mohd Khalid, tiga dari SMK Aminuddin Baki, dan 10 dari SJKT Jalan Yahya Awal.
-BTS Media