PELAKON veteran Noor Azizah kembali ke rahmatullah pada usia 79 tahun.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) DJ Dave yang mengesahkan berita tersebut, berkata jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Paloh di Ipoh dan dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur hari ini (Isnin 7 April).
Allahyarhamah meninggal dunia pada kira-kita pukul 3 pagi setelah mengalami sesak nafas.
Menurut DJ Dave, Noor Azizah berada dalam keadaan baik sebelum ini dan telah pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Noor Azizah mula dikenali menerusi filem “Dayang Senandong” pada tahun 1965, di mana beliau memegang watak Puteri Mawarni. Beliau juga antara barisan pelakon dalam filem “Raja Bersiong” dan “Enam Jahanam”.
Sepanjang kariernya, Noor Azizah yang berasal dari Perak pernah berlakon dalam 20 filem, termasuk “Sri Andalas”, “Jangan Tinggal Daku”, “Durjana”, “Laksamana Do Re Mi”, dan “Malin Kundang”, di samping bintang Indonesia Rano Karno..
Selain Malaysia dan Indonesia, Noor Azizah juga pernah berlakon dalam drama bersiri Australia, “Bailey Bird”, pada tahun 1977.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah, Allahyarham, yang mempunyai dua orang anak, menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.
-BTS Media