BTS Media

Nahas maut Lebuhraya KL-Karak: Pemandu lori direman 4 hari

SEORANG pemandu lori direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di KM50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuantan semalam.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 52 tahun itu direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selepas ditahan di IPD Bentong petang semalam.

“Pemandu terbabit mempunyai empat rekod saman lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga individu maut manakala empat lagi cedera dalam nahas melibatkan lima kenderaan, iaitu sebuah lori, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan kereta Subaru.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Honda Accord iaitu Wong Kean Yeap, 29, dan kakaknya Wong Hwee Moon,34, serta ibu mereka Lee Lai Cheng, 61, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga lagi penumpang kereta itu, iaitu lelaki tempatan berusia 33 tahun, dua kanak-kanak masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia lima serta tiga tahun cedera dalam kemalangan itu dan dibawa ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan.

Turut tercedera, kelindan lori berusia 29 tahun, manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat.

Zaiham memaklumkan punca kematian ketiga-tiga mangsa disebabkan kecederaan otak traumatik.

  – Bernama

 

Leave a Comment