SEORANG suri rumah berusia 36 tahun telah ditahan oleh polis Melaka kerana disyaki menyimbah anak perempuannya dengan air panas selepas mendapati kanak-kanak itu telah menggunakan set kosmetiknya.
Menurut sumber yang dipetik akhbar The Star, kejadian itu berlaku sekitar pukul 8 malam pada hari Khamis (20 Mac) di rumah mereka di Batu Berendam.
Suspek menjadi berang apabila melihat set solekannya telah digunakan dan mula memukul anak perempuan sulungnya yang berusia 10 tahun dengan alat urut mudah alih sebelum menyimbah dua gelas air panas ke arahnya.
Perkara itu terbongkar apabila guru kanak-kanak itu membuat laporan polis pada hari Jumaat (21 Mac), setelah melihat muridnya memakai pakaian biasa dan bukannya pakaian sukan di sekolah pada hari berikutnya.
Apabila ditanya, kanak-kanak itu memberitahu gurunya bahawa dia sedang mengalami kesakitan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kesan lebam di tangannya, mendorong guru itu membawanya ke bilik guru untuk siasatan lanjut.
Mangsa menjelaskan bahawa dia sedang bermain dengan kosmetik ibunya apabila di serang.
Pada masa serangan itu, kedua-dua adiknya sedang tidur.
Dia juga memberitahu bapanya yang berusia 33 tahun tentang kejadian itu, tetapi tiada tindakan segera diambil.
Guru itu cuba menghubungi bapa kanak-kanak tersebut, tetapi panggilannya tidak dijawab.
Bimbang akan kebajikan kanak-kanak itu, dia membawa murid itu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Berikutan siasatan, suspek ditahan pada hari Jumaat (21 Mac), dan perintah reman diperoleh daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari Sabtu (22 Mac).
Ketua Polis Melaka, Timbalan Komisioner Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan itu dan mendedahkan bahawa kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-BTS Media