BTS Media

Zalim: Anjing mati dibunuh dengan anak panah

PERSATUAN Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa tindakan segera dan penyiasatan menyeluruh terhadap kejadian keganasan haiwan yang amat zalim di Ladang Malaya, Selama, Perak.

Kejadian yang berlaku pada 22 Dis itu melibatkan seekor anjing bernama Kutty yang cedera parah selepas dipanah oleh seorang pekerja kerana sesat.

Kutty mengalami kecederaan parah dan akhirnya mati.

Dalam satu kenyataan, SAFM berkata kekejaman seperti itu tidak boleh diterima, dan bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.

Persatuan tersebut menggesa tindakan segera dan tegas diambil untuk memastikan keadilan ditegakkan.

Menurut SAFM, serangan itu melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan menggesa saksi untuk tampil membantu siasatan.

“Laporan boleh dibuat di balai polis berhampiran, dan aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga perlu untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pelaku kerana keterangan saksi adalah penting untuk memastikan keadilan,” tambahnya.

NGO itu juga menggesa polis dan DVS menjalankan siasatan menyeluruh, sambil menekankan kepentingan penguatkuasakan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang menghukum kekejaman terhadap haiwan dengan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

SAFM turut menyatakan kekecewaan terhadap kes kekejaman haiwan yang berterusan berlaku walaupun terdapat banyak kempen kesedaran mengaitkan perkara ini.

Mereka berkata penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang lemah membolehkan pesalah mengelakkan diri daripada hukuman.

SAFM menggesa undang-undang dan langkah penguatkuasaan lebih ketat untuk menjaga kebajikan haiwan.

“SAFM menyeru masyarakat supaya berdiri bersama dalam mempertahankan hak haiwan dan memastikan pesalah berdepan hukuman berat. Keadilan untuk Kutty adalah satu langkah ke arah keadilan untuk semua haiwan yang memerlukan perlindungan,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment