Oleh Zainal AS Rashid
SATU video memaparkan seekor anak panda cacat disimbah air oleh pelancong di sebuah pusat penyelidikan pembiakan panda di Chengdu, China telah membangkitkan kemarahan di media sosial.
Dalam video itu, anak panda bernama Fu Wan terpaksa mengheret badannya dalam kepayahan untuk melarikan diri ke satu sudut kandang sebelum penjaga mengangkat dan menenteramkan haiwan comel yang kurang upaya itu.
Seorang pengguna media sosial yang marah mempersoalkan bagaimana pelancong sanggup melakukan demikian terhadap panda tersebut, lapor ANN.
Ada juga yang menggesa supaya hukuman dikenakan terhadap pelancong yang melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun, pihak pengurusan pusat tersebut tidak dapat mengenal pasti pelancong berkenaan kerana dia telah beredar selepas menyimbah air terhadap Fu Wan.
Anak panda berusia tujuh bulan itu dilahirkan dengan kecacatan bahagian belakang tubuh, hingga menyebabkan kaki belakang tidak dapat menyokong badannya.
Fu Wan terpaksa mengheret badannya dengan hanya menggunakan kaki hadapan. Dia sekadar menjadikan penjuru kandang sebagai tempat selamat kerana boleh duduk dengan bersandarkan pada dinding.
Susulan kejadian itu, ramai yang mendesak supaya dipertingkatkan perlindungan terhadap panda dalam kurungan.
Dalam satu kenyataan, pusat tersebut berkata langkah-langkah seperti menambahkan pagar dan menyenaraihitamkan pengunjung yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap panda akan diambil.
-BTS Media