BTS Media

Kedai perabot punca air ‘putih’ di longkang Sungai Buloh

AIR “putih” dalam longkang di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor didapati berpunca dari  sebuah kedai perabot.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pencemaran itu dipercayai disebabkan oleh pembasuhan tong cat.

LUAS dalam satu kenyataan berkata pihaknya dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah melakukan pemeriksaan lokasi itu selepas air tercemar didapati mengalir ke sungai berhampiran petang semalam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati baldi cat dicuci, dan air sisa mengalir ke longkang berhampiran,” katanya.

LUAS berkata pemilik premis diarah supaya membersihkan longkang, manakala pihak berkuasa telah meletakkan beg karbon bagi mengelakkan pencemaran selanjutnya.

Satu sampel air dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Menurut LUAS, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS, dan jika didapati bersalah pihak bertanggungjawab boleh didenda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Keadaan telah dikawal, mengelakkan kesan yang lebih teruk ke atas sumber air dan sungai berhampiran,” tambahnya.

Pada bulan September lalu, sisa kimia pernah dikesan di dalam longkang di Kampung Desa Aman.

-BTS Media

Leave a Comment