BTS Media

TikTok kembali aktif di Amerika Syarikat, setelah pengharaman oleh pentadbiran Biden dibalikkan

TIKTOK kembali beroperasi di Amerika Syarikat pada hari Ahad selepas pengharaman yang dibuat di bawah pentadbiran bekas presiden Joe Biden.

Platform perkongsian video itu dikatakan kembali beroperasi setelah Donald Trump kembali ke White House sebagai Presiden AS pada hari Isnin.

TikTok, syarikat milik ByteDance lenyap daripada talian di AS lewat pada hari Sabtu susulan keengganan China menyetujui ‘paksaan’ AS supaya anak syarikat platform popular yang amat menguntungkan itu dijual kepada Amerika Syarikat.

Awal hari Ahad, ketika berjuta-juta pengguna kecewa apabila mendapati akses mereka ke TikTok terhalang, Trump telah berjanji akan mengeluarkan perintah eksekutif menangguhkan larangan untuk memberi masa bagi penyelesaian isu tersebut.

Melalui post di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump berkata dia “inginkan supaya Amerika Syarikat memegang 50 peratus dalam usaha sama dengan TikTok,” dengan alasan bahawa nilai aplikasi tersebut boleh melonjak kepada “ratusan bilion dolar – mungkin trilion.”

Beliau berkata, “Dengan cara ini, TikTok boleh diselamatkan dan berada dalam “penjagaan terbaik”.

Trump, sebelum ini semasa penggal pertamanya sebagai presiden, pernah menyokong dikenakan tindakan pengharaman terhadap TikTok.

Bagaimanapun, setelah mendapati TikTok banyak membantunya untuk meraih sokongan anak muda, beliau membuat pusingan U.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform X berikutan komen Trump, TikTok berkata syarikat itu “sedang dalam proses memulihkan perkhidmatan.”

“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memberikan kejelasan dan jaminan yang diperlukan kepada penyedia perkhidmatan kami bahawa lebih 170 juta penduduk Amerika tidak akan ‘bergelap’ daripada TikTok.”

TikTok, yang kembali aktif di Amerika Syarikat pada tengah hari Ahad, tidak mengulas tentang gesaan Trump berhubung pemilikan syarikat tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment