SYARIKAT aplikasi video pendek TikTok mengesahkan laporan pemberhentian pekerja di Malaysia sebagai sebahagian daripada pengurangan tenaga kerja global syarikat itu.
Jurucakap syarikat tersebut hari ini berkata mereka tidak dapat memberikan angka sebenar pekerja yang akan diberhentikan kerana peraturan pekerjaan tempatan berbeza-beza di seluruh dunia.
Syarikat tersebut menjangkakan beberapa ratus pekerja TikTok akan terjejas di seluruh dunia.
Jurucakap itu berkata keputusan pemberhentian sejajar dengan usaha berterusan TikTok untuk meningkatkan keupayaan penyederhanaan kandungannya.
Untuk 2024 sahaja TikTok menjangkakan pelaburan global sebanyak AS$2 bilion untuk meningkatkan prestasi amanah dan keselamatan.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa TikTok, yang dimiliki oleh firma China ByteDance, telah memberhentikan ratusan pekerja di Malaysia.
Memetik sumber, laporan itu berkata lebih daripada 500 individu telah menerima surat pemberhentian kerja, kebanyakannya daripada bahagian pemantauan kandungan.
Pada bulan Mei lalu, CNN melaporkan bahawa TikTok merancang untuk mengurangkan sebahagian besar daripada operasi global dan tenaga kerja pemasarannya.
Pemberhentian global pada masa itu dilapor telah menjejaskan pekerja yang bertanggungjawab untuk sokongan pengguna, komunikasi, kandungan dan pemasaran.
Pada bulan Jun, Bloomberg pula melaporkan bahawa ByteDance telah memberhentikan 450 kakitangan di unit Indonesianya berikutan pemerolehan firma e-dagang tempatan, yang disepadukan ke dalam operasi TikTok.
-BTS Media