Oleh Yusoff A. Shariff
PENGARAH Dasar Awam TikTok Malaysia Hafizin Tajudin berkata platform media sosial itu bersedia menangani kandungan menghasut yang bertentangan dengan garis panduan komunitinya menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Selain usaha penyederhanaan kandungan secara berterusan, Hafizin berkata memandangkan PRN semakin hampir, TikTok Malaysia akan lebih menumpukan pada inisiatif berteraskan kepercayaan dan keselamatan yang bertujuan untuk mendidik pengguna di bawah kempen #SaferTogether.
“Kami akan mewujudkan lebih banyak kandungan untuk memupuk kesedaran bagi mendidik pengguna tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, bukan hanya khusus mengenai pilihan raya negeri, tetapi juga mengenai perkara yang sentiasa sesuai dan relevan,” katanya pada sesi perkongsian dengan media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Melalui kempen #SaferTogether, TikTok Malaysia bekerjasama dengan pencipta kandungan di platform tersebut untuk menghasilkan video tentang cara menggunakan aplikasi mudah alihnya dengan selamat, seperti cara untuk melaporkan kandungan tidak sesuai atau cara mereka boleh mengawal komen.
Dia berkata, sekurang-kurangnya satu video sedemikian, yang muat naik ke TikTok Malaysia pada 18 Januari, mendapat lebih 103 juta tontonan dan 134,500 ‘likes’.
Bagi pilihan raya negeri, Hafizin berkata kandungan kesedaran dirancang oleh TikTok termasuk menyediakan ruang ‘tips’ untuk mengesahkan sumber maklumat.
Tambahnya, TikTok Malaysia bekerjasama dengan pihak kerajaan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis dalam usaha untuk membendung trend dan amalan yang memudaratkan.
-BTS Media