BTS Media

Bekas juara UFC dunia Khabib Nurmagomedov diusir dari kapal terbang kerana dia Islam

BEKAS juara dunia seni mempertahankan diri campuran Ultimate Fighting Championship UFC Khabib Nurmagomedov dihalau daripada penerbangan di Amerika Syarikat kerana dia seorang Islam.

Dia diusir oleh pramugari dan kapten pesawat di Lapangan Terbang Harry Reid, Las Vegas yang akur dengan rungutan seorang penumpang wanita berkulit putih yang mengadu tidak selesa melihat Khabib duduk berhampiran dengan tempat duduknya.

Dalam catatan di X pada hari Isnin, legenda (UFC) itu menjelaskan bahawa insiden tersebut berlaku dalam penerbangan Frontier Airlines dan berkata bahawa dia sengaja didiskriminasikan kerana bangsa dan agamanya.

Rakaman video itu dikongsi secara meluas dalam talian, dengan laporan media awal tersilap bahawa kejadian itu berlaku dalam penerbangan Alaskan Airlines.

Setakat ini, tidak jelas bila kejadian itu berlaku dan Frontier Airlines masih belum memberi sebarang komen.

Dalam ‘X’ juara UFC itu berkata pramugari yang berinteraksi dengannya “sangat kurang ajar sejak awal lagi”.

Walaupun Khabib fasih bercakap dalam Bahasa Inggeris dan memahami segala yang diperkatakan dan bersetuju bekerjasama jika ada masalah tentang tempat duduknya dalam pesawat, pramugari itu terus berkeras untuk mengusirnya daripada pesawat.

“Apakah ia disebabkan bangsa saya, kewarganegaraan atau masalah lain?” tambahnya.

Dalam video kejadian yang dirakam oleh penumpang lain, kedengaran pramugari tersebut memberitahu Khabib bahawa mereka tidak membenarkan dia duduk di tempat duduk di situ.

Pramugari itu kemudian berkata dia akan memanggil pegawai keselamatan untuk mengusir Khabib dari tempat duduknya.

Khabib memberitahu pramugari itu bahawa tindakannya tidak adil, kerana dia telah mematuhi sepenuhnya peraturan dan prosedur semasa menaiki pesawat.

Menurut Khabib lagi, semasa dia mendaftar sebelum memasuki pesawat, mereka bertanya sama ada dia memahami bahasa Inggeri dan dia menjawab ya, tapi kenapa dia dihadapkan dengan masalah demikian.

Penyelia pramugari itu, yang tidak berpuas hati dengan jawapan Khabib kemudian menawarkan tempat duduk lain di dalam pesawat itu, atau turun daripada pesawat dan naik saja pesawat lain. Selepas dua minit Khabib berkata penyelia itu kemudian memanggil pegawai keselamatan dan dia diusir dari pesawat.

“Selepas 1.5 jam saya pun menaiki pesawat syarikat penerbangan lain… dan bertolak ke destinasi saya,” tulisnya di X.

Khabib terbang ke California untuk memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya yang akan mengambil bahagian dalam acara UFC 311 pada 18 Januari di Los Angeles.

Sepanjang kariernya, Khabib tidak pernah kalah (29-0) dan dianggap sebagai ‘pahlawan” MMA terhebat sepanjang zaman.

-BTS Media

Leave a Comment