JUMLAH mangsa banjir di Johor meningkat kepada 3,342 orang pagi ini berbanding 2,524 orang malam tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 985 keluarga berlindung di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Kulai dan Pontian setakat 8.30 pagi ini.
Jumlah paling ramai di Kota Tinggi, iaitu 1,153 daripada 364 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS, diikuti Johor Bahru dengan 732 orang daripada 219 keluarga di lima PPS.
Di Kulai, 539 orang daripada 151 keluarga dihantar ke lima PPS, Kluang 504 orang daripada 147 keluarga di lima PPS dan Pontian 414 orang daripada 104 keluarga di lapan PPS.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my dua sungai telah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.75m) dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (21.01m).
Di Perak keadaan juga tidak berubah dengan 30 orang daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Beruas.
Di Terengganu, sebuah PPS yang dibuka di Balai Raya Geliga Pantai, Kemaman semalam menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga.
Portal publicinfobanjir.water.gov.my turut memaklumkan bahawa Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut telah melepasi tahap bahaya dengan bacaan 35.64m.
-BTS Media