BTS Media

Banjir: Lebih 1,500 mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan di Johor

JUMLAH mangsa banjir di Johor mencecah lebih 1,500 orang dan dijangka terus meningkat berikutan hujan berterusan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata setakat pukul 4 petang hari Sabtu (11 Jan), seramai 1,597 orang daripada 489 keluarga ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara di empat daerah yang dilanda banjir.

“Daerah terjejas ialah Kota Tinggi 1,086 mangsa, Kluang 200, Kulai 177, dan Pontian 134.

“PPS jumlah mangsa paling ramai ialah di SK Laksamana dengan 205 orang dari Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Lima sungai turut merekodkan bacaan paras berbahaya iaitu Sungai Endau berhampiran Kampung Contoh, Sungai Johor berhampiran Kampung Sungai Siam, Sungai Johor berhampiran Kampung Murni Jaya, Sungai Skudai dekat Kampung Laut, dan Sungai Skudai dekat Kampung Pasir.

Juga, empat jalan yang ditutup untuk semua kenderaan selepas dinaiki air, ialah Jalan Lok Heng-Mawai, Jalan Mawai Lama, Jalan Johor Baru-Endau, dan Jalan Kota Tinggi-Kluang.

-BTS Media

Leave a Comment