NASIB malang seorang lelaki yang meninggalkan Kelantan dan ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki tiba-tiba berubah apabila dia dan keluarganya kehilangan tempat tinggal selepas ditipu oleh scammer.
Hilmi, bapa kepada lima anak, pada mulanya bekerja sebagai pemandu lori di Pulau Pinang untuk menyara isteri, anak sulung berusia sembilan tahun dan bongsu dua tahun.
Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah buruk apabila tuan rumah mengusir mereka walaupun telah membayar deposit.
Mereka kemudian terpaksa tinggal di dalam kereta lama mereka, yang tidak mempunyai tingkap belakang. Saya terpaksa menutupnya dengan plastik dan pita,” kata Hilmi, kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.
Dalam catatan Facebooknya, Sim yang juga menteri sumber manusia menceritakan bagaimana Hilmi berhenti kerja untuk menjaga keluarganya yang tinggal di dalam kereta.
“Hilmi tidak berputus asa. Dia menggunakan kereta itu, yang juga berfungsi sebagai rumah mereka, untuk bekerja dengan Lalamove. Tetapi ke mana sahaja dia pergi, seluruh keluarga terpaksa ikut sama,” tulisnya.
Kekangan kewangan memaksa Hilmi menghentikan persekolahan dua anak sulungnya.
Apabila dimaklumkan tentang nasib malang keluarga itu, Sim pergi untuk menemui Hilmi dan keluarganya.
“Menyayat hati melihat keluarga itu duduk di berlapikkan sepanduk lama di sebelah kereta mereka.
Beliau berkata, walaupun Hilmi dan isterinya jelas nampak sedih, namun anak-anak kelihatan bermain seolah-olah tidak terkesan dengan nasib mereka.
Sim berkata keadaan itu membuatkannya menitiskan air mata.
Beliau seterusnya membawa keluarga itu untuk makan, dan juga memberitahu mereka bahawa beliau telah menyediakan sebuah rumah untuk mereka tinggal.
“Di rumah baharu itu, saya gembira melihat anak-anak mereka senyum gembira. Saya membeli perabot ringkas seperti sofa, katil, peti sejuk dan keperluan lain. Isteri Hilmi berkata mereka tidak pernah mempunyai peti sejuk sebelum ini,” tulis Sim dalam catatannya.
Sim juga membantu Hilmi mendapatkan pekerjaan di sebuah syarikat lori dan berjanji untuk menampung sewa mereka selama setahun.
Beliau turut memastikan anak-anak mereka kembali ke sekolah dengan bantuan pegawai dan guru pendidikan kawasan setempat.
“Jangan sedih, Hilmi. Sudah tiba masanya untuk membina semula kehidupan,” kata Sim ketika menyerahkan kunci rumah kepada Hilmi, dengan disaksikan isteri dan anak mereka.
Kini, Hilmi, isteri, dan anak-anak mereka – Syukur, 9, Rizqi, 7, Amin, 4, Rahmat, 3, dan Aisyah, 2 tidak lagi perlu tinggal di dalam kereta mereka, berkat usaha Sim dan masyarakat.
“Tidak kira bangsa atau agama, apabila seseorang yang memerlukan datang kepada saya, saya akan membantu,” tegas Sim yang sememangnya terkenal dengan usaha membantu insan malang.
-BTSMedia