BTS Media

Ahli Parlimen gesa sidang khas parlimen lantik pengerusi SPR

GAMBAR: Malaysiakini.

 

AHLI Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah mencadangkan sidang khas parlimen diadakan bagi mengawasi pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).

Katanya, sidang khas itu sepatutnya diadakan sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini.

“Sidang khas boleh diadakan sebelum sidang yang dijadualkan pada bulan Jun. Ia perlu berlangsung sekurang-kurangnya dua hari, untuk kita bincangkan pengerusi SPR dan PSA.

“Cadangan saya, kita adakannya selepas pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam sesi forum di pejabat Bersih, di Petaling Jaya, malam semalam.

Bekas menteri luar itu berkata cara lain bagi memulakan pelantikan pengerusi SPR adalah untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon penubuhan sebuah jawatankuasa kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.

“Tetapi jika ada keperluan untuk sidang khas, ahli parlimen akan hadir,” katanya.

Susulan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh yang dijangka bersara pada Mei ini, Bersih menggesa dan mencadangkan kerajaan supaya memperbaharui proses lantikan pengerusi SPR melalui jawatankuasa parlimen.

Di bawah kempen reformasi 100 peratus oleh Bersih, kumpulan pemantau pilihan raya itu mengemukakan 10 tuntutan kepada kerajaan termasuk pelantikan secara telus jawatan pengerusi SPR dan anggotanya.

Ketika sidang parlimen Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Institusi Reformasi), Azalina Othman Said mendedahkan bahasa PSA sudah “90 peratus siap” dan draf undang-undangnya telah disediakan.

 

Leave a Comment