BTS Media

Bersatu gantung Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Oleh Zainal AS Rashid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggantung ahli parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada parti itu selama empat tahun, bermula pada hari Jumaat (3 November).

Tindakan itu diambil kira-kira sebulan selepas Iskandar Dzulkarnian mengumumkan sokongannya terhadap kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam kenyataan semalam, menyatakan keputusan untuk menggantung Iskandar Dzulkarnain dibuat oleh lembaga disiplin Bersatu.

Beliau berkata, Lembaga Tatatertib Bersatu telah mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat untuk meneliti laporan berhubung pelanggaran Perlembagaan parti membabitkan Iskandar Dzulkarnain, yang merupakan ahli parlimen Kuala Kangsar dan ketua bahagian Kuala Kangsar.

Menurut Hamzah, setelah meneliti semua dokumentasi, bukti, keseriusan, implikasi dan kesan kesalahan Iskandar Dzulkarnain terhadap parti serta surat penjelasannya, lembaga itu mendapati Iskandar Dzulkarnain bersalah di bawah Perkara 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

“Justeru , Iskandar Dzulkarnain digantung sebagai ahli Bersatu serta semua jawatannya dalam parti itu untuk tempoh empat tahun mulai 3 Nov,” kata kenyataan itu.

Hamzah, pada 13 Okt lepas, menegaskan bahawa Iskandar Dzulkarnain diugut dengan dakwaan rasuah jika tidak menyokong kerajaan.

Beliau mendakwa bahawa ugutan sedemikian yang digunakan ke atas Ahli Parlimen itu adalah untuk mendapatkan sokongan kepada kerajaan perpaduan dalam mendapatkan semula majoriti dua pertiga di parlimen.

-BTS Media

Leave a Comment