BTS Media

Ahli Parlimen Bersatu sokong Kerajaan, kerana perlu bantu kawasan, tetap setia kepada BERSATU

TINDAKAN ahli parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid untuk menyokong kerajaan perpaduan adalah bukti jelas bahawa beliau betul-betul bertekad untuk membantu rakyat di kawasannya.

Walau pun Menteri Besar Perak Saarani Mohamad tanpa berlengah segera berkata kononnya langkah itu akan memberikan “impak” besar, namun rata-rata pemerhati berpendapat bahawa ia menyerlahkan prinsip ahli parlimen itu yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Apa tidaknya, memandangkan kerajaan persekutuan masih tidak menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dengan alasan bahawa mereka yang sepatutnya mengorak langkah untuk berbincang dahulu.

Mungkin bagi Dzulkarnain syarat tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah kerana rakyat di kawasan amat memerlukan bantuan segera.

Sebelum ini, Saarani berkata Iskandar Dzulkarnain perlu memaklumkan kepada Speaker parlimen supaya beliau ditempatkan bersama blok penyokong kerajaan di Dewan Rakyat.

Agak pelik pandangan Saarani kerana Iskandar Dzulkarnain hanya menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim demi memperjuangkan nasib penduduk di kawasannya.

Beliau tidak berkompromi mengenai kesetiaannya kepada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Oleh itu, kenyataan Saarani dan terbaharu, oleh timbalan pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri sekadar hanya dilihat sebagai “mind play” kononnya Iskandar Dzulkarnain bakal meninggalkan BERSATU, dan sekali gus membolehkan kerajaan Anwar mendapat semula sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Iskandar Dzulkarnain berkata keputusannya, yang berkuat kuasa pada Khamis (12 Okt), adalah untuk melihat sama ada Anwar akan menepati ikrarnya berhubung peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang.

Itu sahaja.

-BTS Media

Leave a Comment