KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan hari ini menegur beberapa wakil rakyat yang berdegil masih lagi merokok dalam bangunan Parlimen, walhal kawasan tersebut adalah kawasan larangan merokok.
Ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, masih ada Ahli Parlimen yang merokok di kawasan itu, termasuk dalam bilik Whip Ahli Parlimen
Beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang agar mematuhi peraturan dan undang-undang pada setiap masa sebagai contoh baik kepada rakyat.
“Saya minta perhatian Timbalan Menteri Kesihatan. Kita jangan pergi terlalu jauh, kita tumpu pada bangunan Parlimen ini. Ramai yang masih merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan rokok. Saya lihat di bilik Whip, ramai yang merokok dalam bilik Whip.
“Saya rasa kita harus tunjuk contoh yang baik. Kita adalah wakil rakyat. Kalau nak merokok, pergi ke luar sana (di kawasan dibenarkan merokok,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
-BTS Media