BTS Media

Tiada kompromi terhadap ahli parlimen Bersatu sokong Anwar, kata Hamzah

Oleh Yusoff A. Shariff

PERCUBAAN untuk memecahkan Bersatu tidak akan berhasil walaupun dua ahli Parlimennya beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata setiausaha agung parti Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (2 Nov), ketua pembangkang itu berkata Bersatu akan mengambil tindakan disiplin terhadap dua Ahli Parlimen berkenaan, iaitu  Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.

Pada 12 Okt lepas, Iskandar Dzulkarnain berkata beliau menyokong kepimpinan Anwar walaupun masih ahli parlimen Perikatan Nasional.

Kemudian, pada 30 Okt, Suhaili Abdul Rahman melakukan perkara yang sama.

Menurut Hamzah, kepimpinan Bersatu komited untuk terus setia kepada kepimpinan presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebarang percubaan pihak luar untuk memecahkan-belahkan parti itu melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya.

“Bersatu juga komited untuk memperkasakan lagi Perikatan Nasional yang mendapat mandat dan sokongan besar daripada rakyat pada pilihan raya umum dan negeri lalu.

“Parti ini tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahlinya, terutama ahli parlimen dan ADUN.

“Selaras dengan itu, Majlis Tertinggi Bersatu telah memutuskan bahawa kepimpinan negeri akan mengambil alih pengurusan bahagian Kuala Kangsar dan Labuan Bersatu,” kata Hamzah.

Beliau berkata tindakan ini akan dikenakan sementara menunggu keputusan lembaga disiplin Bersatu ke atas Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili, masing-masing merupakan ketua bahagian Kuala Kangsar dan Labuan Bersatu.

Hamzah juga menyatakan bahawa Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin telah dilantik sebagai ketua Pimpinan Bahagian Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Suhaili, yang telah dibuang kerana peralihan sokongannya baru-baru ini.

Walaupun menyokong Anwar, Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili kekal sebagai Ahli Parlimen PN kerana undang-undang anti lompat melarang wakil rakyat melompat ke parti lain.

-BTS Media

Leave a Comment