BTS Media

Banjir Perlis: Lapan sekolah ditutup, pelajar beralih kepada PdPR

LAPAN sekolah di Perlis ditutup hari ini akibat banjir, dan semua pelajar sekolah berkenaan meneruskan kelas melalui PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) sehingga keadaan pulih.

Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik dan Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah di Kangar.

SMK Dato Sheikh Ahmad; SK Arau dan SK Guar Nangka bagi kawasan Arau, dan SK Titi Tinggi di Padang Besar.

Dalam satu kenyataan, Rose Aza berkata semua sekolah terbabit telah memohon untuk pulang awal semalam, dan hari ini pelajar mengikuti pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata keputusan untuk menutup sekolah adalah bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru.

“Pihak sekolah juga diarah untuk memastikan pelajar terus dapat mengakses bahan pembelajaran melalui platform PdPR yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata sebanyak 305 mangsa banjir ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Arau dan Padang Besar setakat pukul 12 tengah semalam.

“PPS SK Guar Nangka dan SK Arau masing-masing terdapat 71 orang dan 104 orang manakala seramai 130 orang lagi berada di PPS SK Titi Tinggi di Padang Besar,” katanya.

— BTS Media

Leave a Comment