SESI persekolahan di negeri Kedah akan diteruskan seperti biasa pada hari Ahad (21 Sept).
Bagaimanapun, sekolah yang terjejas banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) boleh memohon sesi pengajaran dan pembelajaran (PDPR) di rumah.
Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pendidikan, Perancangan dan Pengurusan Kedah, Mahadhir Ismail, sekolah terbabit boleh memohon untuk melaksanakan PDPR melalui pejabat pendidikan daerah masing-masing.
“Ada sekolah yang terjejas sama ada dinaiki air atau (tukar kepada) PPS telah memohon PDPR, dan kita akan luluskan permohonan itu.
“Bagi pelajar sekolah yang menjadi mangsa banjir, mereka boleh memakai pakaian biasa sekiranya sekolah mereka tidak memohon PDPR ,” katanya kepada pemberita di Titi Gajah, Kedah hari ni.
Beliau berkata, sebanyak 37 sekolah di seluruh negeri itu telah dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir.
“Sebanyak lapan sekolah dinaiki air, namun dua sekolah sudah pulih,” katanya.
Setakat malam tadi, banjir menjejaskan 1,251 pelajar sekolah dan 30 guru Di Kedah, manakala jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS adalah seramai 7,494 orang setakat pukul 8 pagi Sabtu.
-BTS Media