GAMBAR: Jabatan Bomba Malaysia
HUJAN berterusan meningkatkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri dengan Kelantan mencatatkan angka tertinggi.
Setakat pagi ini, seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS); Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS).
Kawasan lain yang turut terkesan ialah Pasir Puteh (4,956 mangsa, 21 PPS); Machang (4,395 mangsa, 20 PPS); Jeli (838 mangsa, lima PPS) dan Gua Musang (46 mangsa, sebuah PPS).
Portal Jabatan Pengaliran dan Saliran memaklumkan bahawa beberapa sungai utama di Kelantan telah paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini, antaranya Sungai Lanas di Jeli (28.78) meter, Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.17 m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.58 meter), Sungai Golok di Kampung Jenob (28.79 m) dan Sungai Sokor di Kampung Sokor (33.92 m).
Di Rantau Panjang, Sungai Golok kini mencatatkan paras 11.50 m, melebihi had bahaya sembilan meter dan Tangga Krai (Bratdey) Kuala Krai pada paras 25.25 m.
— BTS Media