GAMBAR: The Edge
ISTERI kepada bekas menteri kewangan Allahyarham Daim Zainuddin dipulangkan pasport antarabangsanya secara kekal, yang sebelum ini ditahan mahkamah.
Ini berikutan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan yang dibuat Na’imah Abdul Khalid.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini membuat khilaf apabila membenarkan penyitaan pasport Na’imah sebagai antara syarat ikat jaminnya.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen memerintahkan Na’imah menyerahkan pasportnya sebagai syarat ikat jamin bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula menolak permohonan yang difailkan Na’imah supaya pasportnya dipulangkan secara kekal.
Peguam Na’imah, Rajesh Nagarajan mengesahkan keputusan panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Azizah Nawawi. Dua lagi hakim ialah Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.
Peguam yang mewakkili Na’imah berkata Mahkamah Rayuan mendapati tiada bukti yang boleh mengabsahkan syarat tambahan penyerahan pasport untuk membolehkan Na’imah diikat jamin dengan jaminan sebanyak RM250,000.
Pada bulan Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan jenayah gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
-BTS Media