BTS Media

Banjir: 8,838 mangsa di Kelantan, Rantau Panjang lumpuh, laluan masuk utama terputus

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan kini mencecah 8,838 orang setakat pukul 2.43 petang hari Rabu (27 Nov).

Daerah Kota Baru, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, dan Jeli terjejas.

Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu 1,634 orang, diikuti Kota Bharu (1,561) dan Pasir Puteh (1,386), lapor Sinar Harian.

Sementara itu, pekan Rantau Panjang yang terkenal dengan lokasi membeli-belah hampir lumpuh setelah laluan utama masuk ke kawasan itu dinaiki air, dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat pukul 1.00 tengah hari Rabu, kenderaan berat masih boleh memasuki Rantau Panjang.

“Bagaimanapun, saya akan memantau keadaan dan perkembangan semasa di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada hari Rabu.

Sebelum ini, satu catatan Facebook memaklumkan bahawa paras air di Rantau Panjang berada pada paras 10.59m, melebihi paras bahaya 8m.

Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata keadaan banjir di negeri itu masih terkawal.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berpindah awal sekiranya kediaman mereka dinaiki air.

Menurutnya, keadaan akan menyukarkan pasukan penyelamat untuk memindahkan mereka ke pusat pemindahan sekiranya air mula naik deras atau arus kembali deras.

-BTS Media

Leave a Comment