GAMBAR: Bernama
BAILIF mahkamah cuba melaksanakan writ penyitaan dan penjualan di kediaman pemimpin Umno Jamal Yunos hari ini selepas dia gagal menjelaskan kos guaman RM50,000 berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Kos itu diperintahkan dalam keputusan mahkamah pada 2022 yang mendapati Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok berhubung dakwaan berkait dana Yayasan Warisan Anak Selangor.
Mahkamah Tinggi memerintahkan ketua Umno Sungai Besar itu membayar ganti rugi RM300,000 berserta kos.
Jamal membayar ganti rugi tersebut, namun kos guaman masih belum dilunaskannya.
Peguam Kok, SN Nair berkata, walaupun dituntut, kegagalan Jama membayar kos RM50,000 itu membawa kepada pelaksanaan writ di alamat terakhirnya yang diketahui di Ampang Jaya pagi ini.
Katanya, sebaik tiba, bailif yang ditemani peguam L Narendran dan seorang pegawai keselamatan mendapati tiada sesiapa berada di kediaman itu lalu mereka beredar setelah menunggu 15 minit.
Menurut Nair, firma guaman itu akan mendapatkan perintah pecah masuk, dengan tarikh pendengaran kes akan ditetapkan tidak lama lagi.
Jamal tidak lagi dapat merayu setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah rendah.