BTS Media

KJ saman Ketua UMNO Sungai Besar, Jamal Yunos RM1,000,000

KETUA UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos disaman oleh Khairy Jamaluddin sebanyak RM1 juta.

Saman difailkan oleh peguam Khairy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

Saman tersebut adalah berikutan dakwaan Jamal pada satu sidang media kononnya Khairy membawa “pengundi hantu” ke Perhimpunan Agung UMNO di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu, lapor Malaysiakini.

Jamal dilaporkan berkata dia akan membuat aduan kepada lembaga disiplin UMNO tentang perkara itu.

Pada 27 Januari, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan mengumumkan Khairy dan beberapa pemimpin lain dipecat berhubung tuduhan melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu yang dilihat Malaysiakini, Khairy antara lain mendakwa kenyataan Jamal itu membayangkan beliau individu tiada integriti dan kewibawaan sebagai pemimpin dan terlibat dengan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan anggota UMNO demi kepentingan peribadi.

Khairy mendakwa kenyataan yang dibuat dengan niat jahat dan tanpa asas itu bukan sahaja menjejaskan kewibawaan dan karakternya, tetapi turut mengakibatkan beliau hilang peluang perniagaan dan kehilangan kepercayaan masyarakat untuk menerajui sebarang organisasi.

Khairy menuntut ganti rugi khas berjumlah RM1 juta serta ganti rugi am, teruk dan teladan.

Selain itu, beliau menuntut relif-relif lain, seperti arahan kepada Jamal untuk menarik balik kenyataan yang dibuat dari akaun Facebook dan TikTok.

Beliau juga menuntut Jamal membuat permohonan maaf di dua platform media sosial itu serta di akhbar yang akan ditentukannya sendiri.

-BTS Media

Leave a Comment