Oleh Yusoff A. Shariff
PROSIDING kebankrapan terhadap Jamal Md Yunos boleh membawa kepada pembatalan pencalonannya untuk bertanding pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Besar, Selangor pada pilihan raya umum ke-15.
Dalam surat penyandang kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh, beliau menggesa pencalonan Jamal dibatalkan.
Menurut Kok, beliau telah memulakan prosiding kebankrapan ke atas Jamal pada 30 Ogos lalu berdasarkan kepada penghakiman yang diterima pada 26 Julai.
“Jamal masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan saya terhadap beliau masih sedang berlangsung,” kata Kok kepada Abdul Ghani.
Beliau mahukan supaya SPR menolak Jamal daripada menjadi calon semasa proses penamaan calon esok.
Wakil jabatan insolvensi akan hadir untuk menapis calon.
Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang boleh hilang kelayakan untuk menjadi ahli parlimen jika masih bankrap, atau banduan yang telah menjalani hukuman penjara lebih satu tahun atau didenda lebih RM2,000 dan belum mendapat pengampunan.
Menurut notis kebankrapan Kok, Jamal masih berhutang sebanyak RM351,479.45.
Pada 25 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal supaya membayar RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapannya pada 2017 yang mendakwa ahli parlimen DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Jamal membuat laporan kepada SPRM dengan tuduhan yang sama, sehingga membawa kepada serbuan di pejabat Kok.
Tiada pertuduhan dikenakan terhadap Kok.
-BTS Media