BTS Media

Teresa Kok fail notis kebankrapan terhadap Ketua UMNO Sg Besar, Jamal Yunos

AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos setelah beliau gagal menjelaskan RM300,000 sebagai ganti rugi dalam saman fitnah terhadapnya.

Beliau berkata peguamnya SN Nair dan Jaden Phoon memfailkan notis itu kerana Jamal masih tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Julai.

“Sehingga hari ini, saya tidak menerima apa-apa daripadanya,” kata Kok, sambil menambah bahawa jumlah hutang Jamal sekarang telah meningkat kepada RM351,479.45, termasuk faedah.

Pada Julai, pesuruhjaya kehakiman Arief Emran Arifin memutuskan bahawa Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok semasa sidang media pada 8 Mac 2017 dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi am, teruk dan teladan sebanyak RM300,000. Mahkamah turut memerintahkan Jamal membayar kos RM50,000 kepada Kok.

Kok memfailkan saman terhadap Jamal pada 2017 kerana menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor di bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas kerajaan negeri.

Menurut Kok kenyataan Jamal memberi gambaran bahawa dia telah menggunakan dana negara untuk dirinya dan oleh itu, beliau dikatakan seorang yang tidak beretika.

Kok berkata keputusan mahkamah telah membersihkan dirinya. Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia susulan laporan yang dibuat oleh  Jamal.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Utusan Malaysia melaporkan awal hari ini bahawa Jamal dikejarkan ke Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur setelah pengsan pada majlis Barisan Nasional di Sungai Besar malam tadi.

-BTS Media

Leave a Comment