Oleh Zainal AS Rashid
USAHA lima tahun oleh tujuh individu untuk mencabar keputusan kementerian kesihatan melarang merokok di premis makan telah gagal.
Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa yang menolak permohonan mereka untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas, lapor FMT.
Hakim Zabariah Yusof, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Laisani Dollah, 49, Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Noor, 56, Yazid Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43, gagal berbuat demikian seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Peruntukan itu menyatakan bahawa pemohon mesti meyakinkan mahkamah dengan merangka soalan perundangan dan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.
“Soalan yang dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran juga bukan untuk kepentingan awam. Kami menolak permohonan ini dengan kos RM30,000 yang perlu dibayar kepada responden,” kata Zabariah, yang bersidang bersama Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.
-BTS Media