GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Fetty Rara
SEBANYAK 335 notis kompaun berjumlah RM93,350 dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap individu dan pemilik premis bagi pelbagai kesalahan di bawah peraturan larangan merokok sepanjang operasi bersepadu ke atas 263 premis di Kuala Lumpur semalam(Sabtu 25 Jun).
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli berkata notis kompaun itu dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Beliau berkata sebanyak 284 notis dikeluarkan kepada individu kerana merokok dalam kawasan larangan dan 28 notis kepada pemilik kerana gagal memastikan tiada kegiatan merokok di premis mereka.
Selain itu, 14 notis kompaun juga dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
Dr Norhayati memberitahu media bahawa sebanyak sembilan notis lagi dikeluarkan ke atas pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok bagi kanak-kanak bawah umur dan amaran bergambar.
Operasi yang dijalankan daripada pukul 6.00 hingga 11.00 malam itu membabitkan seramai 220 pegawai KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, polis, Jabatan Kastam and Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebanyak 147 bungkus rokok dirampas di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011, bersama sejumlah rokok yang dipercayai diseludup.
-BTS Media